Tags

,


Remi Harun

Nabi-Muhammad

Siapakah Muhammad ???
Aku mempunyai seorang anak yang telah terlebih dahulu mendahului aku menemui Allah SWT namanya Muhammad Bin Rohimi. Dia dilahirkan pada 6 Disember 2009 di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu Kelantan Darulnaim.

Semasa isteriku mengandungkan dia sekitar 7 bulan, Dr memaklumkan kepada isteriku yang anak dikandungnya mempunyai air di dalam kepala. Ketika itu aku berada di California, Amerika Syarikat kerana berkursus ESCP di sana selama 2 minggu.

Isteriku memaklumkan berita tersebut kepada ku melalui telefon dalam suara yang sedih. Aku juga sangat sedih dan sehingga menggangu fikiranku tetapi aku merahsiakan perkara tersebut kepada rakan-rakan.

Aku pada malam itu bersolat hajat untuk memohon kepada Allah supaya isteri dan anak ku yang didalam kandungan selamat. Sewaktu isteriku menyambut aku di LT Pengkalan Chepa ku lihat mukanya seperti hendak menangis. Aku berkata ‘sabarlah’.

Pemeriksaan susulan dengan Dr di HUSM dengan jelas, gambar discan menunjukkan tompokan hitam di kepala bayi dalam kandungan isteriku yang kata Dr adalah air yang terkumpul. Pengumpulan air tersebut telah menyebabkan saiz kepala bayi bertambah besar.

Dr memaklumkan bahawa kelahiran perlu melalui pembedahan. Mulai saat itu hari-hari yang dilalui oleh ku terasa suram dan sedih tetapi tiada siapa yang tahu kecuali aku dan isteri.

Aku tidak tahu bagaimana rasanya hati isteriku tetapi aku lihat dia sering menangis dan selalu bersolat malam. Berita isteriku hamil ini juga telah membatalkan hasrat kami untuk mengerjakan haji yang telah kami daftar di TH Travel.

Subhanallah, Muhammad masih bernyawa ???
Sewaktu isteriku dimasukkan ke dalam wad bersalin, pembedahan tidak dapat dibuat kerana isteriku mengalami batuk-batuk dan Dr terpaksa memberi ubat dan menunggu sehingga hari ketiga barulah pembedahan dibuat.

Aku yang menunggu diluar wad bersalin membaca surah yasin berkali-kali dan tidak menghiraukan orang-orang dikelilingku yang mereka ini asyik berbual-bual. Setelah isteriku melahirkan, seorang nurse datang memanggilku dan memaklumkan yang pembedahan telah selesai dan semuanya selamat.

Alhamdulilah kata hatiku. ‘Anak encik kami telah tolak ke wad icu Nilam dan encik boleh melihatnya di sana’ kata nurse tersebut. Aku melangkah menuju ke wad ICU tersebut dan hati sangat berdebar-debar, bagaimanakah rupa anakku.

Sewaktu aku masuk ke wad ICU tersebut banyak ku lihat bayi-bayi yang berada dalam berbagai keadaan, ada yang dalam ikubetor, ada yang saiznya sebesar lengan tangan, ada yang ditebuk kepala dan lain-lain.

Aku masih meninjau-nijau dan dari jauh aku melihat seorang bayi di atas troli yang aku agak itulah bayi ku kerana kepalanya besar. Bila ku hampiri, kelihatan mukanya mengingatkan aku pada sebuah cerita seram kanak-kanak. Aku tabahkan hati. Ya Alah ampunkanlah dosaku, dosa isteriku.

Aku kemudian ke wad isteri, ku lihat isterku dalam keadaan yang lemah dan menahan sakit. Aku telah lupa apa yang aku telah katakannya kepada isteriku tetapi apa yang aku ingat aku hanya katakan bahawa bayi ada di dalam ICU tersebut, kata Dr ia berada dalam kritikal.

Aku kembali ke rumah dan memaklumkan kepada anak-anak ku yang umi mereka telah selamat melahirkan `Muhammad’ tetapi Muhammad tidak seperti bayi lain dia cacat. Ku lihat muka anak-anak ku macam tercengang dan tidak percaya.

Professor Han seorang Dr berbangsa `Mat Saleh’ memanggil aku dan menunjukkan kepada aku gambar CT scan yang jelas menunjukkan anak ku tidak mempunyai otak, kelihatan gambar kepalanya seperti buah kelapa yang kosong. Dr memaklumkan kepada ku yang anak ku hanya boleh hidup tidak kurang dari 3 hari sahaja.

Pada hari ketiga Dr memanggil isteri ku dan aku, yang mereka akan membuka alat bantuan pernafasan anakku. Aku menjadi buntu takut-takut nanti menyesal dan dikatakan membunuh anak sendiri.

Aku telah bertemu dengan ust Ya bertanyakan pendapatnya dan beliau juga tidak dapat memberikan jawapan. Kedatangan CC Mat Nawi ke rumah ku telah membuka fikiran ku untuk bertemu dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz. Selepas solat Subuh di Masjid Pulau Melaka aku memberanikan diri bertanya Tok Guru dan jawapan Tok Guru cukup ringkas “ serah pada Dr, itu kerja dia, kita tawakal pada Allah” . Hatiku merasa senang dengan jawapan itu dan tanpa ragu menyerahkan segalanya kepada Allah dan usaha Dr.

Muhammad diletakkan di atas riba iseriku dan aku disisi, setelah Dr membuka alat bantuan pernafasan. Terdengar suaranya menangis jauh dan halus sekali di dalam kerongkong. Menangis isteriku dan aku juga menangis menunggu ajalnya tiba tetapi setelah hampir satu jam anakku masih bernyawa dengan gerakan dada dan perutnya.

Isteriku mengangkat dan meletakkanya di troli semula. Dia bernafas dan hidup. Subahanallah. Maha suci dan maha berkuasa Allah. Semenjak hari itu anakku diletakkan di wad Timur Belakang. Setiap malam aku datang selama 35 hari membaca surah yasin. Setelah isteriku segar kira-kira dua minggu, aku telah membawanya ke wad Timur Belakang dan melawat anaku.

Itulah kali pertama aku membuka lampinnya dan ku lihat najisnya tidak dibersihkan dan ada kesan luka di bahagian punggungnya. Sedih aku, mengapa aku membiarkan selama ini ia berlaku. Aku tak terfikir langsung. Ya Allah kesihan anak ku. Ku lihat kepalanya semakin membesar.

Hati ku bercampur baur. Aku masih ingat pembedahan pertama telah dibuat oleh Dr Zamzuri iaitu seorang pakar bedah otak, Dr tersebut menyatakan kepadaku bahawa dia hanya membuat tebukan kecil pada selaput otak yang mengasingkan otak dengan bahagian bawah otak. Kepala Muhammad menjadi kecut dan keadaannya seperti belon yang diisi air, dialih kekanan menjadi leper ke kanan dan begitulah sebaliknya. Keadaan tersebut tidak lama, setelah dua minggu kepalanya kembali membesar kerana lubang yang ditebuk tadi telah bercantum semula.

Dr. Saiful yang merawatnya di wad timur belakang telah memanggil aku dan bercakap terus terang yang Muhammad perlu dibedah sekali lagi untuk memasukkan shunt tetapi risiko amat besar kerana Muhammad mungkin akan meninggal di atas meja bedah, peluang untuk hidup 70% sahaja.

Aku ketika itu menyerahkan sepenuhnya kepada Allah, hati ku nekad untuk meneruskan pembedahan kerana aku sangat kesihan melihat kepala Muhammad yang semakin membesar dan matanya kelihatan kebawah. Pembedahan kedua dibuat dan aku bersama isteri menunggu di luar dewan dalam keadaan yang pasrah kepada Allah.

Aku sebenarnya telah berjumpa dengan Bilal Masjid Kemumin bertanyakan hal tanah kubur. Aku merasakan anakku Muhammad akan meninggal. Sehingga kini aku merasa sedikit kesal kerana cuba untuk mendahului ketentuan Allah. Ya Allah ampunkan dosa hamba mu ini.

Tepat pukul 6 petang aku dimaklumkan oleh Dr Zamzuri yang pembedahan Berjaya. Alhamdulillah kata ku. Aku tidak menyangka yang pembedahan tersebut Berjaya dan ia juga menakjubkan bagi Dr dan semua nurse. Aku pernah berkata kepada isteriku yang aku akan membawa mayat Muhammad pulang tetapi itulah takdir Allah yang maha berkuasa.

Setelah 35 hari di HUSM, Muhammad anakku dibenarkan pulang oleh Dr dan bermulalah episod bagaimana untuk menjaganya dalam keadaan dia yang sangat istimewa itu. Aku yang pada ketika itu telah ada 5 anak juga seolah-olah baru mempunyai anak sebab kesukaran menjaganya. Aku pada peringkat awal untuk mengangkatnya pun aku takut sebab kepalanya sangat lembik seperti belon yang berisi air.

Bagaimana Muhammad meneruskan kehidupanya ???
Cuti isteriku hampir tamat dan aku dan isteri bertekad untuk mencari pengasuh dari Negara seberang iaitu kemboja dan bukan Indonesia.

Melalui kenalan isteriku yang disebut `Datin’, isteriku mendapat nombor telefon agen yang membuat pengambilan pekerja asing iaitu Cikgu Yam. Aku telah berurusan dengan Cikgu Yam bagi mendapatkan pengasauh untuk anakku Muhammad.

Sebanyak 7 ribu telah dibelanjakan untuk mendapatkan pengasuh tersebut yang bernama Sarefah, pekerja tersebut terpaksa aku hantar balik ke kemboja begitu saja kerana dia tidak lepas pemeriksaan kesihatan dan didapati positif Hepetities.

Hilang begitu saja duit, tiada perjanjian dengan cikgu Yam dan dia juga lepas tangan. Aku sebaliknya terpaksa membayar hutang Bank Rakyat sehingga sekarang. Kejadian tersebut sangat-sangat memberi pengajaran kepada aku dan isteriku.

Aku sebenarnya inginkan pengasauh Indonesia tetapi isteriku tidak bersetuju, dia takut dengan macam-macam cerita yang didengar dan dibaca dalam majalah tentang pengasuh Indon yang boleh menyebabkan sesuatu rumah tangga bergoncang.

Aku turutkan saja kemahuan isteriku dan lain pula jadinya. Aku menggangap itu adalah takdir Allah terhadap ku. Selepas tiada lagi pengasuh aku memulakan pencarian sendiri pengasuh di kawasan perumahan Taman Kurnia Jaya. Suatu hari aku telah berfikir bagaimana untuk mencari pengasuh di kawasan taman tersebut, ku pandu kereta kancil yang telah berusia 12 tahun itu keliling Taman Kurnia Jaya dan ku tanya sesiapa saja yang ku lihat berpotensi mengasuh bayi.

Akhirnya aku bertemu dengan sekelompok makcik yang sedang berbual-bual sambil menyapu sampah di halaman rumah mereka. “Assalamualaikum kak” kataku “siapa yang boleh mengasuh bayi” kataku lagi. Seorang daripada makcik tersebut tersenyum lalu berkata “dia boleh” sambil menunjuk kawannya yang turut juga tersenyum. Kata makcik tersebut “dulu saya jaga anak cikgu, tapi sekarang dok lagi dah”. Saya berkata kalau begitu boleh makcik tolong jaga anak saya. Dia berkata “nanti tanya pak cik dulu”.

Esoknya aku mendapat tahu makcik tersebut bersetuju untuk mengasuh Muhammad dan memohon upah RM250 sebulan. Hatiku tidak sedap selagi tidak membawa Muhammad untuk ditunjukkan kepada makcik tersebut yang dikenali dengan makcik Nun.

Aku telah membawa Muhammad bertemu dengan makcik Nun bersama isteriku dan makcik Nun tidak menunjukkan riaksi apa-apa apabila melihat keadaan Muhammad, hatiku berasa lega dan tanpa dipinta aku menambah upah makcik Nun kepada Rm 270 sebulan dan disambut baik oleh makcik Nun. Mulai hari itu aku dan isteri bergilir-gilir menghantar dan mengambil Muhammad.

Setahun enam bulan Muhammad di pelihara dengan baik oleh makcik Nun dan tiada masalah besar yang berlaku, Cuma sekali sekala adalah Muhammad mengalami selsema dan demam. Di rumah ku Muhammad dijaga seperti menatang minyak yang penuh, aku sangat sayang kepadanya dan ku lihat isteriku begitu juga, anak-anak ku yang lain juga turut menyayanginya.

Keadaan kepalanya yang besar tidak langsung menjejaskan kasihku kepadanya tetapi lebih mendalam lagi ku rasakan. Muhammad seorang anak yang dikurniakan Allah kepada ku dengan beberapa kelebihan, yang ketara adalah fizikalnya, warna kulitnya sangat putih sehingga menggalahkan kulitku sendiri dan dia mempuanyai bulu mata yang melentik dan sangat menarik.

Semasa kematiannya dan ketika selepas dikapan itulah wajah yang masih aku ingat sehingga sekarang dan setiap kali aku kenang aku pasti akan menangis. Wajahnya ketika itu sangat cantik dan berseri dengan bulu matanya yang melentik dan semoga Allah akan menemukan aku dengannya di akhirat kelak. Amin. Kelebihan yang orang lain tidak tahu selain aku, isteri dan anak-anak ku yang lain ialah Muhammad sangat suka berzikir dan zikirnya sangat jelas.

Anak-anak ku yang sebelum ini pun tidak mempunyai kemampuan tersebut. Dia sangat tertarik dengan zikir-zikir yang dialunkan sebelum azan di chanel Oisis Astro. Ust Aziz daripada Pondok Lubuk Tapah semasa mengajar di Masjid As Salam pernah menyebut kanak-kanak yang mumaiyis tidak kira dilahirkan dalam keluarga Islam atau bukan Islam jika dia meninggal dunia Allah akan masukkanya ke dalam Syurga tetapi bagi kanak-kanan yang boleh menyebut nama Allah, dia akan lebih awal masuk Syurga. Aku sangat yakin yang Muhammad telah berada di sana dan semoga dia akan menunggu aku dan isteri di depan pintu syurga, InsyaAllah.

Bagaimana Telatah Muhammad ???
Banyak sekali kenangan aku bersamanya yang tidak dapat ku lupakan dan dalam coretan ini akan ku ceritakan beberapa kenangan bersamanya yang akan ku bawa sehingga ke akhir hayat ku.

Aku selalu mendukungnya dengan dia secara automatic akan menyandar kepalanya yang besar itu ke dadaku sebelah kiri, aku selalu menciumnya bertubi-tubi dan anak matanya dan mukanya memberi tahu aku yang ia suka aku mempelakukannya begitu. Sambil itu aku sering memengang tangannya yang kecil dan lembut sambil jari telunjuknya akan menunjuk ke atas dan aku akan berteriak “lampu, lampu, lampu”.

Dia akan mengikut suaraku dengan bunyi yang keluar dari mulutnya “nampu nampu nampu”. Inilah kenangan yang bila aku kenang dan ketika aku menulis ini pun air mata ku tidak dapat ku tahan, sungguh sedih dan pilu. Aku juga sering meletakkan Muhammad diatas riba semasa aku duduk, ku tarik kedua-dua tangannya ke dadanya dan kemudian ku tarik kedua-dua kakinya juga ke dadanya dan aku akan peluk serentak sambil aku lihat mukanya, dia sangat suka aku mempelakukannya begitu dan dia sebenarnya melepaskan terus semua anggotanya untuk aku memperlakukan tindakan tersebut dan sampai sekarang aku masih terasa-rasa yang aku sedang membuat pemainan tersebut denganya.

Semasa memandu dan kadang-kadang semasa berbaring-baring dengan Muhammad aku sering memicik-micik tangannya dari pangkal siku hingga ke pergelanggan tangan dan bila aku buat begitu mulut Muhammad akan jadi ternganga dan mukanya seolah-oleh sedang kesedapan sambil aku berkata lembutnya, lembutnya. Bila aku lepaskan tangannya dia akan meminta aku berbuat lagi. Inilah di antara pengalaman peribadi ku dengan Muhammad yang tidak dapat ku lupakan dan sering menyentuh hati bila setiap kali ku ingat kenangan tersebut.

Aku masih ingat tarikh 27 Januari 2013, aku dan isteri juga anak-anak yang lain telah membawa Muhammad untuk pemeriksaan Dr Pakar di HUSM. Semasa melalui lebuh raya timur barat yang mengambil masa 7 jam hingga 8 jam untuk sampai ke Kota Bharu. Muhammad asyik suka memandang ke belakang semasa dipegang oleh isteriku yang duduk di kerusi depan. Gaya Muhammad memandang ke belakang dengan kepalanya yang besar sehingga tertunduk ke bawah amat menggelikan hatiku.

Itulah reaksinya apabila nak ke kerusi belakang untuk dipegang pula oleh kakaknya Shafiyah. Dia tidak suka dipegang dan suka dibiarkan lepas dengan disandarkan ke kerusi. Sambil senyum dan membuat bunyi emmmm… dan memusingkan kepalanya. Gelagatnya ini tidak akan aku lupa selama-lamanya dan sering aku terbayang-banyang semasa aku membawa kereta terutamanya semasa sendirian.

Pernah suatu ketika selepas seminggu aku kehilangannya, semasa aku membawa kereta aku dapat melihat melalui cermin belakang yang Muhammad sedang duduk bersandar di kerusi belakang sambil tersenyum. Aku juga pada suatu ketika semasa menungguh lampu isyarat merah kepada hijau, ketika tangan ku meraba-raba ke belakang kerusi aku seolah-olah sedang memegang tangan Muhamamd.

Ini kerana setiap kali aku memandu balik kampong, Shafiyah yang selalu memegangnya yang duduk di belakang kerusi ku selalu menghulurkan tangan Muhammad untuk menyentuh tangan ku yang ku sandarkan ke belakang. Aku selalu memegang dan memicit tangannya yang lembut dan halus itu. Ya Allah sedihnya hatiku, hanya engakulah saja yang tahu. Ini adalah sebahagian pengalaman peribadiku bersama Muhammad yang akan ku bawa sehingga akhir hayat.

Muhammad sudah NAZAK ???
Pada 7 Februari 2013 sewaktu aku berada di Airport Pengkalan Chepa selepas turun dari kapal terbang Air Asia akau telah menerima panggilan telefon daripada isteriku yang menyatakan Muhammad diserang sawan semasa dijaga oleh Shafiyah di rumah.

Sebelum itu isteriku telah memberitahu ku yang Muhammad tidak sihat dan sering meragam tidak tidur malam dan bila minum susu terus muntah-muntah. Aku meminta isteriku membawa Muhammad ke Hospital Besar Ipoh dengan segara. Aku sendiri terus memandu pulang dari Kota Bharu ke Ipoh melalui Jalan Gerik.

Semasa perjalanan yang memakan masa 6 jam bermacam-macam bermain dalam fikiran ku tambahan aku dimaklumkan yang Muhammad telah dimasukkan ke dalam wad setelah ia diserang sawan semasa pemeriksaan Doktor dalam wad kecemasan. Aku tiba di Hospital Ipoh dalam pukul 7 petang dan terus ke wad PICU di tingkat 6.

Setiba aku di wad ku lihat Muhammad dalam keadaan separuh sedar di atas katil dan dimulutnya telah disambungkan dengan alat bantuan pernafasan. Ku lihat matanya di antara terbuka dan tutup dengan ada air mata yang mengalir, dia ketika melihatku mulai menangis dan mengangkat-angaktkan kakinya, aku tahu dia tahu aku datang dan mungkin minta didukung tetapi dengan keadaannya yang disambung dengan alat pernafasan, aku hanya menggosok kepalanya dan menciumnya.

Aku buka selimut yang menutup kakinya kerana aku tahu ia tidak suka kerana begitulah perangainya di rumah. Aku terus memegang kakinya sambil menggosok-gosok dan aku katakana padanya “Ayah ada cik Mu”. Aku bertanya pada nurse yang ada di situ, adakah Muhammad diberi ubat sawan, nurse menyatakan telah diberi tengah hari tadi.

Aku tinggalkan sebentar Muhammad untuk memberi laluan kepada Doktor untuk membuat pemeriksaan. Aku dan isteri hanya memandang Muhammad dari jarak kira-kira 3 meter dari katilnya. Setelah pemeriksaan Doktor, aku lihat Muhammad seperti tidur dan doktor memanggil aku dan memaklumkan yang Muhammad dalam keadaan nazak.

Walau pun aku tidak menunjukkan terkejut rasa dengan kata-kata doktor itu dan hanya menganggukkan kepala tetapi jauh di sudut hati ku berkata Muhammad menahan kesakitannya semata-mata untuk berjumpa aku sebelum kesakitannya itu ia lepaskan ….hingga ia disahkan nazak. Allah memberi peluang kepada aku untuk bertemu mata dengannya sebelum ia tidak sedarkan diri.

Berat hatiku untuk meninggalkan wad itu setelah Muhammad disahkan nazak. Isteriku berkata `awak baliklah ke rumah, tengok-tengokkan anak yang lain’ dengan berat hati aku melangkah pulang dan sebelum itu aku mencium Muhammad. Muhammad ditinggalkan dengan ditemani isteriku pada malam itu di wad PICU.

Hari-hari terus berlalu dengan keadaan Muhammad yang masih belum berubah. Sewaktu kak Imah datang menziarahi Muhammad aku disisi Muhammad ketika itu. Aku memegang badan Muhammmad dan aku rasakan badannya panas sekali lalu aku mengambil air dan aku sapu pada seluruh badannya. Air mata tidak dapat ditahan lagi dan sambil aku berdoa “ Ya Allah, kasihanilah dia Ya Allah”. Hari itu sewaktu meninggalkan Hospital, hatiku berat tapi isteriku berkata “Awak baliklah selesaikan urusan anak-anak yang lain di rumah”. Aku pulang dengan rasa yang bercampur baur.

Malam itu setelah Solat Isyak aku terlena kerana kepenatan dan tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi deringan handphone yang aku letakkan disebelah tempat tidurku. Jauh aku dengar bunyi suara isteriku dalam nada yang tenang tapi sedih bunyinya. “Muhammad dah tiada”. Tergesa aku bangun dan terus aku mengetuk Bilik Shafiyah dan memberi tahu mereka yang Muhammad telah tiada.

Aku terus menghubungi semua keluarga di sebelah aku dan keluarga isteriku memaklumkan Muhammad telah tiada. Aku terus ke Hospital dan sesampai aku di Wad ku lihat jenazah Muhammad telah dibungkus kemas oleh Nurse dan aku selak kain yang menutup mukanya dan jatuh lagi air mata ku melihat Muhammad seperti tidur saja.

Aku cium dahinya, ada rasa tersekat perasaan di dada dan air liur tidak dapat ditelan ketika itu. Selesai urusan di Bilik Mayat, jam menunjukkan pukul tiga pagi. Aku dukung jenazah Muhammad masuk ke dalam kereta saga yang dipangku oleh isteriku. Sepanjang perjalanan balik itu aku dengan isteriku banyak berzikir dan membaca ayat-ayat Quran. Sesampai di rumah, aku lihat Pak Din dan Kak Imah telah ada dan merekalah yang bersiap-siap, inilah jasa mereka yang sangat aku kenang dan semoga Allah memberi mereka pahala yang berganda-ganda.

Apabila jenazah Muhammad telah diletakkan atas katil, semua anak-anak aku mengelilinginya dan bila saja mereka melihat wajahnya semua yang ada di situ menangis, aku yang dari tadi tidak menangis tanpa ku sedari air mata ku mengalir lagi dengan perasaan yang tidak dapat di tahan tahan lagi. Semua menangis kerana hiba mengenangkan Muhammad yang dari sihat sihat kini telah tiada.

Aku tidak tidur sepanjang malam itu dan aku penuhi dengan membaca Quran di sebelah jenazah Muhammad. Selsesai Solat Subuh aku dengan ditemani Asri berbincang dengan Ust Asad bagi urusan jenazah. Ust Asad mohon aku menyediakan sedikit debu untuk tayamum katanya. Pak Long Yahya memaklumkan bahawa urusan tanah kubur dia yang uruskan dan sewaktu aku datang ke rumahnya selepasa itu untuk membayar upah kubur dia berkata “ usah ..itu belanja saya kepada Muhammad” aku rasa sangat terharu dan hanya terima kasih yang dalam maksudnya dapat aku sampaikan.

Aku berdoa semoga Allah akan membalas dengan pahala yang besar. Jenazah Muhammad aku yang mandikan dan Ust Asad hanya menunjuk ajar sahaja dan setelah selesai mandi Ust Asad melakukan tayamum pada jenazah Muhammad, katanya kerana Muhammad belum bersunat. Ust Asad bertanyakan aku, “sakit apa anak?”, aku menyatakan Muhammad sakit Hidrocapluse sejak dalam kandungan lagi.

Urusan mengkafankan Muhammad sangat mudah dilaksanakan kerana aku dibantu oleh AJK Surau Diri Jumaat Kampung Tersusun Batu 4, sungguh aku terhutang budi kepada semua mereka, sehingga tiada sebarang bayaran dikenakan termasuk kain kafan. Jenazah Muhammad kemudiannya disolatkan oleh Ust Asad sendiri atas permintaan aku sendiri untuk mendapatkan keberkatan seorang ulamak, Ust Asad adalah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Aku lihat jam di tangan telah menunjukkan pukul 10 pagi dan kelibat kelaurga ku dari Kuala belum kelihatan, mujur Duan adikku dari Sungai Siput ada. Aku ingin menyimpan Muhammad segera kerana berdosa aku menangguhnya tapi aku ingin sekali agar mak dapat melihat jenazah cucunya sebelum di bawa ke tanah perkuburan. Aku mendengar dari luar rumah ada suara yang mengatakan “ha itu opah dah sampai” tapi aku tidak pasti suara siapakah itu. Aku tergesa-gesa keluar rumah. Aku lihat mak sedang berjalan sambil dipimpin tangan oleh Sidi, dia kelihatan uzur sekali.

Aku sebenarnya ingin menangis semasa aku mencapai tangan mak tapi aku tahan semua itu. Aku bertanya kepada mak “mengapa mak lambat datang”, aku sebenarnya rasa kecewa kerana berita kematian Muhammad telah aku maklum awal tapi tiada seorang kaum keluarga ku yang datang pada malam itu dan hanya hadir sekitar 10 pagi setelah jenazah nak dibawa ke kubur. Mak berkata “dema lambat katanya”, tanpa menyatakan siapa `dema itu’.

Aku terus membawa mak ke jenazah Muhammad kerana dia nak melihat. Jenazah Muhamamd telah kemas diikat untuk di bawa ke tanah kubur, aku membuka semula ikatan kepalanya dan membuka bahagian mukanya untuk dilihat oleh mak. Sewaktu aku melihat wajah Muhammad yang sangat bersih dan seperti orang tidur, aku tidak dapat menahan lagi air mata ku, rasa sedih yang tidak terungkap dengan kata-kata menyelubungi seluruh tubuh yang ku rasakan dari hujung rambut ke hujung kuku.

Aku lihat mak mengalirkan air mata dan berkata “rupa dia, masa hidup saja” air mata mak bertakung di dalam lopak mata mak yang cengkung. Keadaan ini juga adalah sama semasa jenazah mak yang di bawa dari Hospital Taiping ke rumah di Chanadan. Aku hanya mendapat kabar berita mak meninggal semasa aku di Ipoh. Semasa jenazah mak dibuka mukanya, aku tidak dapat menahan tangis apabila aku melihat muka mak yang tidak ku sangka telah pergi meninggalkan aku untuk selama-lamanya. Aku terpaksa menutup mulut dan muka ku dengan tangan bagi menahan pilu yang dirasakan seperti dihiris hiris sembilu dan aku terduduk disebelah jenazah mak.

Aku masih ingat mak Asri, Wan Jeliah yang ada ketika itu berkata “ Udah tu Remi, tak baik, kesian mak kamu”. Aku berterima kasih padanya yang menegur aku dan aku dengar Yeop berkata “tadi remi tiada di Hospital masa mak tiada”. Mak, Muhammad dan Wan Jeliah telah tiada sekarang, semuanya telah mengadap Ilahi. Mak pergi setelah 9 bulan Muhammad pergi dan Wan Jeliah pergi setelah mak pergi hampir setahun. Al Fatihah untuk semuanya.

Wajah Muhammad selepas itu dicium oleh isteriku lagi dan dikiuti oleh Cikgu Zainab, kawan baik isteriku yang kini telah bersara. Aku segera mengikat tali pengikat kepala kain kafan Muhammad yang aku rasa sepatutnya aku yang pergi dahulu darinya dan dituruti dengan berbagai perasaan yang sukar dimengertikan.

Jenazah Muhammad di bawa ke tanah kubur dengan kereta Innova DBH 4063 yang dipandu oleh Asri, aku duduk disebelahnya dan isteriku duduk dibelakang sambil memangku jenazah Muhammad. Setiba di tanah perkuburan Islam Rapat Setia, jenazah tidak dapat diturunkan ke liang lahad kerana perlu diluaskan sedikit kerana penggali kubur menyangkakan jenazah bayi.

Lebih kurang 15 minit liang lahad pun siap dan aku mendukung sendiri Jenazah Muhammad ke liang kubur. Aku rasa jenazahnya keras pada mulanya tetapi kemudian lembut dan sepanjang aku membawa jenazah tersebut dengan mengendung ke liang lahat aku dapat melihat kawan-kawan pejabat telah ada yang hadir dan yang paling aku terharu ialah Yunus, kawan lama aku semasa di Politeknik, dia hadir dengan bertongkat kerana patah kakinya belum baik sepenuhnya.

Aku menghulurkan jenazah Muhammad ke liang lahad dan disambut oleh anak saudara isteriku Hafizuddin yang muda setahun dari Amar. Aku kagum dengan dia yang boleh melaksanakan tugas menguruskan mayat dalam kubur dengan dipandu oleh orang lain, bukan semua budak muda boleh buat termasuklah anak ku sendiri Amar. Rasa hatiku ketika itu aku serahkan segalanya pada Allah dan ku lihat isteriku, tiada air mata lagi yang mengalir, mungkin dia juga telah pasrah.

Selesai pengkebumian aku cuba offer pada hadirin yang hadir untuk membaca doa tetapi tiada yang menyahut, aku terus membacakan doa dengan segala rasa bercampur sedih dan gembira. Sedih kerana Muhammad telah tiada dan gembira kerana Muhamamd pastinya ke Syurga dan menanti aku di sana kelak, InsyaAllah.

Aku sebenarnya meminta Asri mencarikan ust untuk membacakan talkin. Asri menghubungi Ust Fairus, isterinya kawan baik isteriku dan dia juga adalah kenalan lama, satu usrah tapi dia memberi tahu Asri, tidak perlu baca talkin, Muhammad tu memberi syafaat kepada kita dan mengapa kita perlu berdoa untuknya. Dia sebenarnya yang telah berdoa untuk ibu ayah dan kita semua, kerana itulah aku mengambil keputusan, aku sajalah yang aula membacakan doa untuk kebaikan semua. Amin.

Inilah kisah Muhammad yang telah menjadi sejarah kepada keluargaku termasuk sejarah bagi keluarga Hamidah-Harun. Muhammad tidak sempat dikenali rapat oleh semua sepupunya tetapi sepupunya yang telah berakal akan ingat kisah ini selagi langit dan bumi ini ada. Diharapkan agar cerita ini menjadi permulaan untuk aku menulis kisah hidup keluarga ini seterusnya….

Rohimi Bin Harun
8 Februari 2016
11.30 malam
22 Hala Bandar Baru Tambun 13
Bandar Baru Tambun
31400 Ipoh.

Tulisan ini sebagai memperingati permergian Muhammad pada 15 Februari 2013. HAPPY BITHDAY MUHAMMAD!!!

Marilah kita sedekahkan pada aruawah Muhammad…Al Fatihah

Nota: Kehidupan ini penuh pancaroba. Ia mengenai kehidupan sebenar anak kepada Remi Harun (Muhammad) yang menghadapi masalah pembengkakan kepala. Istimewa cerita ini adalah bagaimana Takdir Allah itu menyusun umatnya supaya sabar dan tabah dalam menempuh saat sukar tambah pula Dr hanya bergantung kepada kepakaran mengikut teori yang mereka tahu sampai bila jangka hayat hidup seseorang itu. 

Seperkara lagi, bersesuaian Muhammad sama nama dengan Nabi kita Nabi Muhammad SAW diharapkan Muhammad adalah penyelamat keluarganya di akhirat kelak kerana in sya allah beliau menunggu Di Pintu Syurga (Nyanyian Dayang NurFaizah)

Ikuti sampai habis cerita ini, perjalanan sebuah kehidupan suka duka Baby Muhammad, kesayangan ibu dan ayah serta seisi keluarga sebagai pengkongsian penulis pada kali ini.